Tingkatkan profesionalisme industri kecantikan

Tingkatkan profesionalisme industri kecantikan

19 Aug 2013, Berita Harian

Di Singapura pernah dilaporkan ada penulis blog kecantikan mengalami kerosakan kulit wajah selepas melakukan rawatan kecantikan di salun republik berkenaan. Kerosakan berkenaan juga dikatakan agak teruk sehingga memberi kesan kepada penampilannya sebagai penulis blog, khusus mengenai kecantikan.

Daripada kejadian berkenaan, kita boleh merumuskan secara ringkas mengenai perkhidmatan ditawarkan salun kecantikan, adakah ia benar-benar menepati piawaian kebersihan untuk merawat wajah pelanggan yang datang.

Selain itu, adakah peralatan dan bahan digunakan sesuai dengan kulit pelanggan yang ingin dirawat, berapa kerap pula juru kecantikan atau pengusaha menukar peralatan baru atau adakah mereka menggunakan peralatan sama.

Pastinya, perkara pertama yang terfikir dalam minda setiap kita yang ingin mendapatkan rawatan kecantikan ialah tahap kebersihan peralatan digunakan terutama alat untuk mencuci, merawat dan mencantikkan wajah.

Adakah juru kecantikan menggunakan span yang sama tanpa mencucinya dengan betul dan begitu juga tuala muka atau apa saja peralatan lain boleh diulang pakai.

Prosedur asas

Lebih menimbulkan persoalan, bagaimana pula tahap kebersihan tangan juru kecantikan itu sendiri, sama ada mereka berkuku panjang atau pendek, semua ini perlu diambil kira oleh individu yang terbabit dalam industri kecantikan kerana ia secara tidak langsung berkait rapat dengan kebersihan dan prosedur asas dalam disiplin berkenaan.

Bukan saja memberi perhatian kepada peralatan, teknik dan cara rawatan juga wajar dimasukkan ke dalam senarai penting sekiranya individu berkenaan berhajat memulakan perniagaan berkaitan kecantikan.

Kenyataannya, wajah adalah bahagian utama, sama ada wanita mahupun lelaki mengambil berat mengenainya dan anggota lain bahagian badan mereka.

Apa saja hal berkaitan kecantikan akan menjadi keutamaan setiap individu dan salun yang menawarkan khidmat nasihat atau rawatan kecantikan juga tidak boleh mengambil sikap sambil lewa terhadap perkhidmatan ditawarkan.

Sehubungan itu, kewujudan Biro Sains Pensijilan Persendirian Antarabangsa - International Personal Certification Sdn Bhd (IPEC) meningkatkan lagi mutu perkhidmatan di salun atau spa kecantikan kerana ia menyediakan kelulusan khas untuk individu yang ingin menjadi juru kecantikan.

Kredibiliti perkhidmatan

Ketua Jawatankuasa Skim Industri Sains Kecantikan, IPEC, Dr Ng Wee Kiong, berkata individu terbabit akan diperakui di bawah Skim Pensijilan Aestetik dan Juru pulih Kecantikan (BTaA).

Katanya, dengan adanya perakuan BTaA, juru pulih kecantikan atau individu yang terbabit secara langsung dalam industri kecantikan akan lebih diyakini keupayaan mereka mengendalikan perkhidmatan kecantikan.

“Juru pulih kecantikan yang ada perakuan BtaA ini mempunyai kredibiliti yang lebih baik serta merit kelayakan mereka lebih tinggi selain mendapat pengiktirafan profesional.

“Sehingga kini, 19 profesional kecantikan sudah disahkan dan 14 lagi permohonan baru dalam proses untuk diperakui,” katanya pada sidang media Persidangan Antarabangsa dan Pameran Kosmetik, Kecantikan & Cosmobeaute Asia 2013, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi International Personal Certification (IPEC), Datuk Azmel Maamor; Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Fadilah Baharin dan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr Marimuthu Nadason.

Persidangan dan pameran kosmetik berkenaan disertai lebih 300 pempamer tempatan dan luar negara selain dilawati kira-kira 20,000 pengunjung dengan lebih 600 jenama dipamerkan di situ.

Persidangan itu juga membuka peluang perniagaan untuk pengusaha industri kecantikan kerana ada pelbagai jenis produk berkaitan ditawarkan kepada mereka yang mencari bahan untuk keperluan perniagaan mereka.

Pensijilan tingkat taraf

Dr Ng berkata, di negara ini terdapat banyak pusat atau institusi berkaitan yang menyediakan latihan untuk pengamal kecantikan termasuk badan tertentu yang layak untuk memperakui kemahiran dimiliki.

“Kita perlu memberi panduan kepada mereka yang berminat mendalami bidang kecantikan ini supaya menjadi profesional dalam bidangnya.

“Cabaran lain ialah kita kurang kesedaran mengenai keperluan ini bagi membolehkan pemasaran dalam industri kecantikan ini meningkat maju, sebab itulah kita perlu menggiatkan amalan pensijilan seperti ini supaya pasaran semakin baik,” katanya.

Keperluan pensijilan berkenaan perlu bagi meningkatkan taraf mutu perkhidmatan ditawarkan sekali gus melonjakkan negara dalam industri ini di mata negara luar.

“Keadaan ini perlu digiatkan kerana ia boleh melindungi hak pengguna dan imej baik terhadap industri kecantikan itu sendiri,” katanya.

Skim diperkenalkan itu diiktiraf Jabatan Standard Malaysia di bawah MS ISO / IEC 17024 yang pertama kali dilancarkan pada 2012 bertujuan menyediakan persijilan kebangsaan dan pengiktirafan antarabangsa untuk terapi kecantikan serta profesional dalam bidang estetik.

Sementara itu, Fadilah berkata, Malaysia antara destinasi tumpuan pelancong asing untuk tujuan kecantikan memandangkan mutu perkhidmatan ditawarkan meyakinkan pelanggan.

“Dengan adanya pensijilan standard ISO ini akan menaikkan lagi tahap kredibiliti juru kecantikan di negara ini dan ia sekali gus menaikkan juga kedudukan Malaysia dalam industri ini.

“Selain permintaan tinggi dalam kalangan penduduk tempatan, tidak mustahil apabila mengetahui juru kecantikan di negara ini mempunyai standard yang tinggi dalam bidang dikehendaki, tentunya ada permintaan bagi memenuhi ruang pekerjaan dalam bidang kecantikan,” katanya.

Enroll now with us to become a certified:

Person

Training & Examination Provider (TEP)